Page 4 - Mesyuarat Agung Tahunan UNIKEB Kali Ke 44
P. 4
KATA ALU-ALUAN
PENGERUSI KOPERASI UNIKEB BERHAD
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarokatuh.
Allahumma salli ala Muhammad wa ali Muhammad.
Bagi Tahun Kewangan 2020, Koperasi UNIKEB Berhad terus dianugerahkan daya dalam
mengekalkan pencapaian yang baik dengan Nilai pendapatan berjumlah RM25,252,495.00
walaupun dalam keadaan cengkaman COVID -19. Kita mengambil ingatan bahawa semua
perniagaan di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya terkesan akibat pandemik COVID-19
yang bermula pada awal tahun 2020 dan masih berlarutan hingga sekarang. UNIKEB juga
terus berjaya mengekalkan pencapaian dengan mencatatkan Keuntungan Bersih sebanyak
RM2,216,226.00 pada tahun 2020 dengan melaksanakan langkah pengawalan, kepatuhan
SOP dan pengurusan risiko yang baik dalam pengurusan kos dan perbelanjaan secara sedar.
Tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh Anggota Lembaga dan Pihak Pengurusan secara
bersama dalam usaha menangani dan menambahbaik aktiviti perniagaan memberikan impak
yang baik dalam memastikan UNIKEB terus berdaya maju. Ini jelas diterjemahkan dalam
perancangan perniagaan tahun 2021 di mana Sasaran Pendapatan disasarkan berjumlah
RM33,808,358.00 dengan jangkaan Keuntungan Bersih terus meningkat kepada
RM2,536,883.00 berbanding pencapaian sebenar tahun 2020 sebanyak RM2,216,226.00.
Kecemerlangan UNIKEB ini telah diiktiraf pencapaiannya menerusi penganugerahan sebagai
Koperasi Terbaik Negeri Selangor bagi tahun 2020 semasa sambutan Hari Koperasi Malaysia
pada Julai 2020 yang lalu. Semangat berpasukan di UNIKEB terus dilonjakkan dengan
merangka perancangan perniagaan dan pelaburan baru yang berdaya maju pada tahun 2021
ini.
UNIKEB berhasrat terus menerapkan langkah berhati-hati dalam menjalankan aktiviti
perniagaan agar dapat memastikan Koperasi tidak terdedah kepada risiko yang tinggi.
Kepentingan dan kebajikan semua Anggota diutamakan. Semoga semua Anggota UNIKEB
terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada Anggota Lembaga dan Pengurusan
UNIKEB untuk terus mengekalkan peratusan pembayaran dividen tahunan yang saksama.
Akhir kata, Barisan Anggota Lembaga dan Pengurusan UNIKEB ingin merakamkan ucapan
tahniah kepada Jawatankuasa Audit Dalam dan Jawatankuasa Syariah serta Jawatankuasa
Pengurusan Risiko yang telah bersama memberikan komitmen bagi memantau perjalanan
UNIKEB tanpa mengabaikan pematuhan Syariah di sepanjang tahun 2020. Tidak ketinggalan
juga, ucapan terima kasih kepada semua Anggota UNIKEB dan Pengurusan Universiti
Kebangsaan Malaysia yang terus teguh memberikan sokongan dan kerjasama dalam
memastikan kejayaan UNIKEB ini.
Marilah bersama-sama kita mensyukuri segala nikmat dan rahmat yang dilimpah kurnia oleh
Allah subhanahu wa ta’ala kepada kita dalam mencapai keunggulan ini.
Sekian, salam hormat.
“USAHA DAN NIKMAT UNTUK SEMUA”
PROF. DR. HJ. WAN MOHTAR BIN WAN YUSOFF
Pengerusi
Koperasi UNIKEB Berhad
2

