Sejarah

Home   /   Sejarah

Sejarah Syarikat Kerjasama Tenaga UNIKEB Berhad sebenarnya tumbuh sebagai tunas kecil dibawah pohon rimbunan hijau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diasaskan oleh beberapa orang kakitangannya yang mempunyai visi dan misi untuk menyatukan kepakaran dan tenaga bagi menubuhkan satu pergerakan koperasi yang sah bagi kegiatan ekonomi dan kebajikan kakitangan UKM. Maka pada bulan Mei tahun 1973, satu jawatankuasa penaja Syarikat Kerjasama Tenaga UNIKEB Berhad yang terdiri dari En. Nik Rashid Ismail, En. Sabardin Ahmad, En. Mohd Nazran Shaarin, En. Abd Hamid Abdullah, En. Mohd Kabir Hj Hashim, En. Radin Samah, Dr. J. Chandran dan En. Yep Putih telah memanggil Mesyuarat Agung Pertama bagi merasmikan penubuhannya. Mesyuarat itu telah diadakan di Orditorium Universiti Kebangsaan Malaysia Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Syarikat Kerjasama Tenaga UNIKEB Berhad telah mengalami pertumbuhan yang sangat perlahan dan hampir lumpuh di awal usianya, kerana kurang mendapat sokongan kakitangan UKM untuk menjadi anggota dan pengurusannya yang tidak berpengalaman dan aktif, kurang modal untuk melaksanakan aktiviti ekonomi. UNIKEB hanya mempunyai seorang kerani sepenuh masa pada akhir tahun 1976 yang menyelaras tugas-tugas pentadbiran UNIKEB di bawah bimbingan Setiausaha dan Bendahari ketika itu.

Pada awal tahun 1978 Universiti Kebangsaan Malaysia telah berpindah dari Kampus sementaranya di Lembah Pantai ke Kampus tetap yang baru di Bangi. UNIKEB juga turut berpindah di tempat operasi barunya di Bangi dengan menumpang ruang pejabat kecil di tingkat satu Bangunan Pentadbiran dan namanya turut diubah namanya kepada Koperasi UNIKEB Berhad. Potensi UNIKEB di Bangi lebih menyerlah di mana ramai anggota baru didaftarkan dan UNIKEB memulakan aktiviti ekonominya dengan membuka sebuah kedai buku dan alat tulis selain dari memberi pinjaman wang tunai kepada anggota.

Tahun 1980an

Tahun 1980 dan tahun-tahun berikutnya UNIKEB lebih berani dan berupaya melaksanakan aktiviti ekonomi yang lebih besar seiring dengan pembangunan UKM, kerana UNIKEB menumpang rahmat dan mendapat sokongan padu dari anggotanya dan kerjasama erat dari pentadbiran UKM. Pembangunan UNIKEB telah menunjukkan kejayaan yang pesat, tiga ruang operasinya telah disewa di Bangunan Pusanika bagi menempatkan Pejabat Pengurusan, sebuah kedai buku dan alatulis dan sebuah kedai barang-barang elektrik/elektronik dan alat sukan. Berikutan pembangunan yang menggalakan itu dan ditambah dengan permintaan dari warga pelajar UKM, UNIKEB telah membuka Kedai Pasar Mini di aras dua Bangunan Pusanika. Di Kampus Cawangan UKM di Kota Kinabalu Sabah, UNIKEB telah juga membuka cawangan kecilnya di sana untuk memberi perkhidmatan kepada anggotanya.

Sementara itu di Kampus UKM Kuala Lumpur iaitu Fakulti Perubatan, UNIKEB telah mendapat kelulusan dan kerjasama pengurusan Fakulti Perubatan untuk membuka sebuah kedai barang-barang elektrik dan elektronik. Pada tahun 1983 PETRONAS telah memulakan operasi stesyen minyak dan pada kesempatan itu UNIKEB turut mencebur diri dalam perniagaan stesyen minyak. Sebuah stesyen minyak Petronas di bawah pengurusan UNIKEB telah dibina untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk Bandar Baru Bangi. Lokasi stesyen minyak tersebut di Jalan 1/1, Bandar Baru Bangi telah disiapkan pada bulan Mac 1984 dan stesyen minyak kedua dibina di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi yang beroperasi pada tahun 2001.

Tahun 1990-an

Pada pertengahan tahun 1998, UNIKEB meluaskan lagi aktivitinya dengan menjalankan perniagaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Bandar Tun Razak Cheras apabila sebahagian dari Fakulti Perubatan di Kampus Kuala Lumpur berpindah ke sana. UNIKEB memulakan perniagaan dengan membuka sebuah kedai runcit bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada warga HUKM dan orang ramai yang berkunjung ke sana. Dalam tahun yang sama UNIKEB telah menubuhkan Pusat Pendidikan UNIKEB Sdn. Bhd. yang ditadbir oleh Kolej UNIKEB Jengka Pahang. Tahun 1999 adalah tahun yang bermakna untuk UNIKEB, sebuah bangunan yang dibina sejak dua tahun sebelumnya di atas sekeping tanah Universiti Kebangsaan Malaysia telah sempurna disiapkan, dan berpindahlah pejabat Pengurusan UNIKEB ke bangunan baru iaitu Wisma UNIKEB pada bulan Januari 2000. Bangunan empat tingkat itu menempatkan ruang niaga di aras satu dan dua, ruang pejabat Lembaga Pengarah dan Bilik Seminar di aras tiga, manakala Pejabat Pentadbiran, Bilik Mesyuarat dan Jabatan Akaun di aras empat. Di Wisma UNIKEB inilah bermula era barunya koperasi di dalam melaksanakan aktiviti yang lebih produktif iaitu penglibatan dalam projek-projek hartanah.

Tahun 2000

Di Pejabat Pengurusan Pusat UNIKEB terus membangun dan berbagai aktiviti ekonomi serta perkhidmatan tumbuh satu demi satu dan aktiviti yang sedia ada dipertingkatkan lagi. Di antara aktiviti itu adalah perkhidmatan jualan insuran kenderaan, jualan tiket bas ekspress on-line Transnasional, penjualan perabut rumah, penjualan alat-alat kenderaan, penjualan keperluan sambutan hariraya, membekal buku akademik kepada kepada Jabatan Kerjaan dan bukan kerajaan serta IPTA dan IPTS. Pada 3 November 2003 UNIKEB telah merasmi dan melancarkan perkhidmatan gadaian Islam Ar-Rahnu, hingga setakat ini perkhidamatan tersebut telah mendapat sambutan baik dari anggota dan masyarakat sekitarnya. Satu pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan oleh UNIKEB di HUKM pada Jun 2004 apabila operasi Pejabat Pos Mini HUKM diusahakan sepenuhnya oleh UNIKEB yang menyediakan perkhidmatan jualan produk Pos Malaysia Berhad, urusan pembayaran bil-bil setempat, jualan tiket kapal terbang Air Asia, jualan insuran kenderaan dan juga menjadi pusat khidmat keanggotaan kepada anggota UNIKEB yang berkhidmat di HUKM dan Kampus Kuala Lumpur (KKL).

Pada September 2004, cawangan UNIKEB di HUKM telah mengadakan satu usahasama dengan Persatuan Alumni Perubatan UKM yang mencetuskan pembukaan Kedai Buku Alumni Perubatan UKM yang diusahakan sepenuhnya oleh UNIKEB. Kedai tersebut menyediakan perkhidmatan jualan buku, cenderamata, alatulis dan perkhidmatan fotostat kepada kakitangan, pelajar, pesakit dan orang ramai yang berkunjung ke HUKM.

Sebuah organisasi seperti UNIKEB tidak boleh bergerak tanpa sumber manusia yang cukup mahir dan cekap. Seawal penubuhan UNIKEB, hanya seorang kerani sahaja menguruskan perjalanan aktiviti koperasi, namun sekarang UNIKEB telah berkembang dan telah mempunyai seramai 83 orang kakitangan yang berdedikasi tinggi, komited dan setia untuk memajukan koperasi. Kini pentadbiran UNIKEB diketuai oleh seorang Pengurus Besar, 14 orang kakitangan pengurusan dan selebihnya adalah kakitangan sokongan. Anggota Lembaga Koperasi dan Jawatankuasa Audit Dalaman serta Jawatankuasa Syariah juga turut memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan perjalanan UNIKEB terpimpin dan terkawal. Sementara itu seluruh anggota UNIKEB yang aktif hingga akhir tahun 2004 telah menjangkau seramai 2300 orang telah banyak menikmati pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di samping menerima dividen setiap tahun selepas Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Sebagai menghargai sokongan anggota kepada koperasi, UNIKEB menyediakan Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak Anggota sebagai acara tahunan kepada anak-anak anggota yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran, Program Matrikulasi KPM dan Program Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Saguhati yang disediakan merupakan wang tunai dan sijil penghargaan.

UNIKEB juga menyediakan Tabung Pinjaman Pendidikan UNIKEB (TPPU) kepada anggota dan kakitangannya serta anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti tempatan dengan kadar RM6,500 setahun. Manakala bantuan kebajikan dan khairat kematian turut disediakan kepada anggota dan ahli keluarganya yang berlaku kematian dengan kadar-kadar tertentu.

Kebolehan UNIKEB mencapai pelbagai kejayaan dalam pembangunan organisasi koperasi, kegiatan ekonomi dan perkhidmatan serta aktiviti kebajikan telah mendapat pengiktirafan dalam bentuk anugerah-anugerah iaitu Sijil Penghargaan Kategori Perkhidmatan Pelanggan 1995/96, Anugerah Kualiti Koperasi Negeri Selangor 1996 daripada Jabatan Pembangunan Koperasi Selangor, Anugerah Kualiti Koperasi Malaysia 1996 daripada Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia, Anugerah Koperasi Terbaik Bandar 1998 daripada ANGKASA, Anugerah Koperasi Khidmat Masyarakat Negeri Selangor 2001 daripada Jabatan Pembangunan Koperasi Selangor, dan Anugerah Kualiti Koperasi Negeri selangor 2003 daripada Jabatan Pembangunan Koperasi Selangor.

2010-sekarang

Mulai tahun 2010, perkembangan dan pembangunan perniagaan UNIKEB semakin meningkat dan ia merupakan era yang mencatatkan sejarah dalam lembaran hayat UNIKEB. Tahun demi tahun UNIKEB melakar sejarah yang membanggakan. Pada tahun 2016 Koperasi UNIKEB Berhad telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai Koperasi Terbaik di dalam Sektor Pemborongan dan Peruncitan Negeri Selangor. Terkini UNIKEB telah diiktiraf sebagai Koperasi Terbaik Ke 27 di dalam senarai Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2016. Berdasarkan kedudukan ini juga, UNIKEB adalah terbaik #2 di Selangor dan #1 di kalangan koperasi Universiti Awam Tempatan. Ini adalah berkat usaha dan kerjasama yang telah diberikan oleh Anggota, Anggota Lembaga Koperasi (ALK), Pengurusan dan pekerja untuk terus membangun dan menyokong aktiviti koperasi ke arah yang lebih cemerlang.